Saturday, December 31, 2011

Gerimis

gerimis menggamit 
di senja kelabu
kabur pandangan 
meniti kerikil perjalanan
perhentian masih jauh
sekadar berlindung
sementara diizin...
sempatkah mengutip
bekal ranum budi
sepanjang jalan?
-adizack ms
21 disember 2011


Yang Terzahir Tak Semestinya Kebenaran

"jangan mudah menanggapi apa yang tidak kelihatan
kerana mungkin ianya berbeda dari yang terzahirkan....
kalau dia tak selalu senyum, tak selalu ketawa, tak selalu bersenda
kau kan dapat melihat segala penanggungan yang dirasakannya
dan itu yang terakhir yang dimahukannya....

hanya dengan senyuman, humor dan gurauannya
bisa saja dia menyembunyikan bilah-bilah derita hatinya....
dan tak seorang pun akan tahu kalau dia sebenarnya
sedang kelemasan untuk sekadar menghela nafas
di kolam takdir yang berat menguji ketabahannya
dan tewas dalam perjuangan hidup yang mendera
adalah perkara terakhir yang diinginkannya....

maka, cubalah sedikit memahami
daripada mudah membuat kesimpulan yang jauh tersasar
dari kebenaran yang hakiki...."
-adizack ms
18 dis. 2011


Sunday, December 18, 2011

Kasih dan CintaMU

kukira ku miliki segala kasih dan cinta
rupanya hanyalah sebersit cuma 
daripada kasih dan cintaMu yang agung
biarlah jasadku tak mendapatkannya di dunia
asal saja roh ini bisa dekat padaMu
di alam kekal abadi.

-adizack ms
12 disember 2011

Ketenangan Yang Sembunyi

lama kau berjalan serata pelusuk daerah 
mencari sehiris ketenangan yang rupanya 
sembunyi sebalik tirai jendela hatimu sendiri....
sedang aku yang setia, 
masih lagi berdiri di sisimu pun
tak pernah sekali kau lihat dan sedari 
kerana terlalu amat dalam amukan mimpi di siang hari....
-adizack ms
11 dis. 2011

Monday, December 12, 2011

Selamat Jalan

selamat jalan
cerita semalam
tidurlah dalam diam
esok jangan bangkit lagi
mendera sang mentari
yang mulai berseri
setelah lama pucat
diracun nira kelat....

-adizack ms
9 dis. 2011

Thursday, December 1, 2011

Sepotong Mimpi

sepotong mimpi kan ku bakar dalam angan yang hangat
tidurlah dirangkulan kasih diselimuti mesra yang tak kan sirna
esok menjanjikan sebuah bahagia untuk kau ratah
andai masih belum tersisa...
-adizack ms


Wednesday, November 30, 2011

Merah Darah Sepi


lihat itu
merah darah 
membuak diubun-ubun
garis sepiku 
telah sampai ke kemuncak
pantas berlari 
menyusur urat dan nadi
mencari jalan keluar 
dari penanggungan ini!!!!!!!

terima kasih
kerana sudi menyapu
merah darah sepiku
melangiri lurah kalbu
dan membelat leluka
segumpal hati bernanah duka
& memimpinku ke pelabuhan hakikat
bagi menemukan seiris hakikat!
-adizack ms

Tarian Hidup

kita adalah penari
yang menarikan tarian hidup
dengan irama yang semakin rancak
hingga kita kehilangan langkah
lalu jatuh ke lantai hari
menggelepar di pentas takdir
dengan sebuah mimpi
berkecai di laman
kesementaraan!
-adizack ms

Ku Cari Damai Yang Hilang

kucari
damai yang hilang
sembunyi sebalik kelam malam
melarikan resahku keujong waktu...
selang berganti
wajah ngerimu menyeringai
merenggut sisa kebahagiaanku
menusuk jasad cintaku
dengan belati kepalsuan...
sampai bilakah
mau kau paksa tenggorokku
menelan racun kasihmu
bisanya menjalar pedih
menyiat jantung
hatiku!
-adizack ms


Hanya Beberapa Fragmen Rasa



jangan percikkan duka di wajah
usah langirkan sendu di bibir
sungguh esok tetap menjanjikan
bahagia bersimpuh di laman

terjawabkah rindu diujong sendu
bilamana sekepal hati membunga malu

betapa amat payah
menafsir siul takdir di jendela waktu
sepantasnya disambut sahaja dengan redha
menginap damai di sajadah taqwa

menghitung segala daki dosa yang lekat di kening
memecah hening airmata salju menitis di malam bening
betapa begitu getir menginjak kerikil sepanjang perjalanan
santapan duka terhidang di atas dulang pengalaman...

Monday, November 21, 2011

Lemas Di laut Kecintaan


bening malam menjelir 
lemas dalam lautan rindu
kala dingin mendakap erat
menjulur nafas cintaku...mengah!

Top of Form
aku lemas_mengah dilaut kecintaan tak berhujung
terpana oleh ribuan zikrullah berdengung di selokan hati
kupingku menanah_tangisku pecah mengingat dosa silam
dan kematian yang bakal menjemput bila-bila sahaja..

 gasar tangan merobek urat nadiku_putus 
keras teriakanku tenggelam dilumpur sungai insaf
biarku selam mencari temulang iman tersisa
Ya Rabb, tunjukkan aku jalan kembali!

Thursday, September 29, 2011

Kita Tak Ditakdirkan Bersama....

perempuan,
maafkan aku
kerana tak pantas menyambut
sehelai rindu yang luruh ke sisi...

perempuan,
maafkan aku
kerana tak pantas membaca
sebilah makna yang tersisip di ulas senyummu...


perempuan,
maafkan aku
kerana tak bisa membalas
sekuntum cinta yang mekar tanpa sengaja
kerana aku sebetulnya sudah dimiliki...

perempuan,
maafkan aku
kerana kau lebih berhak
untuk merasakan kebahagiaan
sedang aku tak mampu mengotakannya...


perempuan,
maafkan aku
kerana kita tak ditakdirkan bersama
untuk saling menganyam kemesraan
sedang kau masih setia mengait mimpi...
-adizack ms

Wednesday, September 21, 2011

Jernih Airmata Mengalir Jua

sekeping hati meratap duka nestapa
dirobek belati cinta yang tajam menusuk
berlangir darah merah membuak
menerobos ruang harap meruntuh dinding impian
tak tersisa walau sezarah pun
cebisan puing rindu dilaman kenangan
dan sepi pun merantai
tiap jejak yang semakin longlai
selain aku, hanya Dia yang Maha Mengetahui....

airmata...anugerah Tuhan buat insan....
tebaran ombak di saujana lautan membiru
menghilangkan segala resah gelisah hati yang rawan
meski kerasnya bergumpal memukat igau dinihari
akhirnya terdampar lesu di pantai sedar....

Jika berbicara tentang airmata, terlalu banyak ceritera yang terselindung di sebaliknya. Airmata berfungsi sebagai pembersih organ mata. Airmata sememangnya tidak dapat dipisahkan dari hayat seorang insan. Sejak mula lahir ke dunia airmata menjadi peneman yang setia. Semenjak kecil hingga sekarang, tak terhitung dan tak tersukat berapa banyak sudah airmata yang mengalir menuruni lurah pipi.... di saat lapar, dahaga, suka, duka, sepi, rindu dan sebagainya.

Airmata tak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia. Malah airmata menjadi saksi di akhirat nanti bagi jiwa yang pasrah dan tawwaduk terhadap TuhanNya. Sekian banyak airmata yang mengalir, banyak manakah yang akan bisa membantu manusia di akhirat nanti? Sesungguhnya Tuhan tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia, pasti kan ada manfaat dan hakikat yang terselindung di sebaliknya. Kita manusia biasa yang tak pernah sunyi dari membuat kesilapan dan  kekhilafan. Namun, setitis airmata yang gugur kerana takutkan azabNya, besar ganjaran di sisiNya.

Airmata menjadi teman setia insan. Setiap hari kita melihat insan menangis kerana pelbagai permasalahan yang dihadapi mereka. Apa yang mampu dilakukan dengan kudrat  mereka melainkan menangisi sesuatu yang tidak lagi menjadi milik mereka. Kesusahan hidup, putus cinta, perpisahan, kematian insan-insan tersayang, sedih dengan sesuatu fitnah atau kata nista adalah antara penyebab manusia mampu mengalirkan airmata.

Tuesday, September 20, 2011

Bagaimana Kesudahan Cerita Cinta Ini?

Tak tahu bagaimana untuk ku mulakan serawan bicara ini. Betul-betul tak faham dengan sikap manusia yang sengaja tidak mahu menerima ketentuanNya dengan redha. Malang bagi wanita-wanita yang bersuamikan lelaki yang lebih tua atau seusia dengan mereka.... biasanya bukan perkahwinan pertama, tetapi untuk ke-dua kalinya atau selebihnya.

Seorang lelaki memerlukan wanita sebagai tempat berkongsi kasih sayang, tempat bermanja dan teman yang setia mendengar. Apatah lagi jika lelaki itu sudah hidup keseorangan sekian lama kerana isterinya telah lama meninggal. Tak siapa peduli makan minumnya, tinggal bersendirian tanpa teman.... sedangkan anak-anak tinggal jauh dan kadang-kadang memang tidak bertanggung-jawab. Maka terdetiklah dihatinya untuk punya teman sekadar menemani mengisi kesunyian hati dan berkongsi kasih sayang dan pengalaman hidup yang telah diharunginya selama ini....

Cinta suci penyatuan dua hati.... termetri akhirnya.
Namun egonya anak-anak yang tidak cuba memahami perasaan 'orang tua' itu sebaliknya menentang habis-habisan. Segala perkataan yang buruk dilontarkan kepada orang tua itu.... gatal, miang dan sebagainya. Mereka menegaskan yang mereka masih boleh menjaga si orang tua itu lagi. Tapi akhirnya yang nyata adalah si ayah itu akan terus bersendirian kerana anak-anak sibuk dengan urusan masing-masing. Dan hanya menjenguk sekali-sekala sahaja.... Kesian, itulah nasib yang diterimanya setelah tulang empat keratnya digunakan habis-habisan untuk mencari sesuap nasi membesarkan anak-anak sejak zaman muda lagi.


Benar.... itu memang tanggung-jawab si ayah. Siapa pun kalau menjadi ayah akan melakukan serupa. Namun apakah pula tanggung-jawab anak-anak terhadap ayah mereka? Cukupkah dengan menjenguk keadaannya sebulan sekali? Cukupkah dengan masukkan duit dalam akaun si ayah sekali-sekala? Cukupkah dengan menghantar cucu-cucu untuk bermain dengan datuk mereka setiap kali cuti sekolah atau hujung minggu?

Apakah hak anak-anak untuk menghalang ayahnya berkahwin lagi? Ataukah ada sebab lain yang menyebabkan mereka tidak sanggup menerima 'ibu' baru? Takut? Bimbang? Takut harta ayah akan jatuh ke tangan orang lain mungkin.... dan bimbang kasih sayang ayah akan beralih kepada orang lain.... tambah pula jika wanita yang ingin dikahwininya itu sudah mempunyai anak dari perkahwinan terdahulu.


Hmmm... namun akhirnya kerana keinginan yang tak dapat dibendung lagi, si ayah pun kahwinlah juga akhirnya dengan majlis yang sederhana. Dan tentangan tak habis di situ. Muncung si anak-anak kian memanjang. Kerut di dahi juga semakin berkerutu..... tanda protes! Perang saudara pun dilancar terhadap ayah dan ibu baru. Tapi, ada anak-anak yang bagus redha menerima 'ibu' baru.... dan ada yang mencari sendiri teman buat ayah mereka. Alhamdulillah. Segala persiapan diatur untuk menerima orang baru dalam keluarga yang mempunyai anak-anak yang sudah 'dewasa'. Jadi bermulalah kehidupan baru si ayah ini dengan segunung harapan agar kekal ke akhir hayat!

Adakah cerita cinta itu sedamai dan setenang tasik ini?
Namun, bagaimanakah kesudahan cerita cinta ini? Bulan pertama yang manis, bila dua jiwa disatukan dalam persetiaan. Maka bermulalah lembaran baru bagi mereka. Sisa-sisa kehidupan yang kini mekar semula menguntumkan haruman kemboja di hati. Kata orang muda-muda kini...."dalam hati ada taman"!

Mengapa tidak dibiarkan sahaja kedua mereka melayari kehidupan mereka sendiri dan tidak diganggu-gugat oleh anak-anak yang sebahagiannya amat jarang sekali memahami perasaan kedua orang tua mereka. Dan kesudahannya pasti amat tragis apabila anak-anak mula masuk campur dalam riwayat kehidupan orang tua mereka. Akan berlakulah apa yang tidak patut berlaku seperti perbalahan dan membawa kepada perceraian.

Kenapa ini harus berlaku? Apakah si ayah tadi tak layak untuk beristeri lagi kerana faktor usia (pada pandangan anak-anak). Ataukah sebenarnya anak-anak tak ingin berkongsi kasih sayang dengan isteri baru ayahnya.... Suatu yang perlu diperhatikan adalah bilangan perceraian antara pasangan yang senior ini semakin meningkat kerana beberapa faktor, yang utama adalah kerana terlalu banyak campurtangan daripada anak-anak dalam kehidupan seharian mereka.

Cucu-cucu ditinggalkan kepada nenek baru ini, sedang sang nenek pun sebenarnya sudah tidak larat lagi kerana usia lanjut. Lagi pun mereka perlu membuat segala kerja di rumah seperti mana isteri-isteri lain di samping melayan suami, menemaninya ke surau dan teman bersenda-gurau dan berbincang. Hmmm...kadang-kadang kesian juga kerana mereka pun hanyalah ingin menumpang kasih sayang suami dan anak-anaknya. Tapi sebaliknya ada yang terpaksa melakukan macam-macam perkara yang tak pernah difikirkannya... sedang mereka tak perlu membuat semua itu sekiranya mereka hidup bersendirian.

Perlu difahami bahawa mereka ini berkahwin bukanlah kerana nafsu semata-mata.... namun kesunyian hati dan perasaan inginkan teman yang mampu menemani dan menghilangkan rasa gelisah di hati, itulah yang terpendam di lubuk hati mereka. Memang anak-anak boleh memberi kasih sayang kepada ibu atau bapa mereka yang hidup bersendirian, tapi tidak akan mampu memenuhi tuntutan naluri dan perasaan yang diharuskan oleh syarak. Di samping itu adalah menjadi hak mereka untuk 'bercinta' lagi kalau itu kemahuan mereka. Jadi pada anak-anak, cubalah fahami jiwa ibu dan bapa....dan jangan jadi anak yang derhaka.

Monday, September 19, 2011

Inginku Mamah Cebisan Derita Itu



dalam keharuan
ada titis airmata dingin deras mengalir
menuruni lurah pipi gersangmu
hayat yang tersandung di kaki takdir
namun usahlah berduka wahai ayahanda
kerana segala kewajipan sudah kau lunaskan
bahagiakanlah hatimu kerana esok masih ada
untuk kita terus memanjat kudus doa padaNya
agar kita bisa bangkit dan terus berlari
menuju lurus jalan yang terbentang
dan selalu mengingatkan pada kalbu
bahwa kita adalah milikNya jua....
merah darah pucat lesu mengalir
apalah daya hanya bisa melihat sahaja
tak tertanggung oleh jiwa....
sekujur melihat hadirku ke sisi
sebak dadamu pecah menggelepar dibibir
sungguh penanggunganmu amat perit kurasakan
tak sedar manik jernih menitis jua akhirnya
sungguh aku ingin menangis bersamamu
merasakan apa yang kau rasakan
kalau itu bisa meredakan
cebisan deritamu....
hiba sehelai suara tersepit di sempit kerongkong
menjalar lesu di lingkaran urat dan nadi
kian mendera seuntai harap yang merapuh....
***semoga segera sembuh seperti semula, insyaAllah....***
Ayahanda Che Ibrahim, hari ke-19 di Hospital Pakar Perdana, KB

Re-Union SM Pengkalan Chepa : 17 September 2011


Tingkatan 1 Perdagangan 2 SMPC 1979
rindu menggelepar di rahang dada, indahnya dunia dalam ingatan
berlari di antara ilalang waktu, mengejar mimpi yang tak pasti
tersandung kaki luka berdarah, mimpi bertabur di ujong jaga
menanti waktu menunggu ketika, saat berhimpun di depan mata
seluruh warga smpc, menggarap ceritera bersulam keakraban
yang jauh dirapat-rapatkan, yang dekat makin disayang
agar terus mekar mewangi ikatan kasih sesama insan
selama hayat dikandung badan....

Cikgu Azim yang selalu ceria sepertimana yang pernah ku kenal dahulu....
menggapai rerendang rhu memayungi, rerumput menyanjung langkah warga menghirup secangkir ilmu dipayung perguruan, suara memanggil meninggalkan semalam jauh dan semakin sayup, sehingga nadi bergetar sejauh langkah membawa diri, menyusur arus ketentuan yang pasrah. warga smpc, semakin jauh namun hampir, semakin berbeda namun bersama....

Antara Ex-SMPC yang berkesempatan menghadiri ReUnion
pertama kali menjejak kaki, di dunia baru yang masih asing, namun hatiku terpikat dengan keramahan, dari warga smpc yang menawan, semakin jauh aku melangkah dan menjadi wargamu yang setia, segala pengalaman dan dugaan yang ku harungi untuk mencapai segala yang dicita, kemudian kita semua terpisah dari pandangan mata, membawa haluan dan impian yang ada.

SMPC kini berwajah baru.....hebat dan mengujakan!
namun dengan pertemuan yang tak disangka, kita warga smpc bertemu semula, walaupun masing-masing sudah jauh berbeza....namun dalam hati kita masih tetap sama, sama seperti pertemuan yang pertama kerana masing-masing tidak pernah lupa bahawa satu ketika dahulu kita adalah satu.....iaitu tetap warga smpc yang serupa. semuga pertemuan akan datang membawa kembali semua kenangan pahit dan manis untuk kita semua cerna dari sebuah kehidupan ini.

Sejambak budi segunung bakti....masih setia teguh berdiri.

Wednesday, September 14, 2011

Kebahagiaan Yang Manis

Dan musim pun terus berganti lagi...kekalutan menjadikan kehidupan semakin sesak dengan pelbagai persoalan yang harus dihadap dengan sisa-sisa kudrat yang masih tinggal. Namun tidak Dia menjadikan sesuatu itu sis-sia, kecuali untuk menjadi pengajaran bagi insan yang mahu memikirkan hakikat disebaliknya.

Walau apa pun, segala ujian dan hambatan yang mendatang harus dicerna dengan akal budi dan minda luhur insani bersama akar keimanan yang padu. Pastinya tersisip secebis kebahagiaan yang manis di penghujung sebuah penderitaan....dan jangan berhenti berharap! Jangan putus-asa dari rahmat Tuhan!
Setiap insan pasti akan dicuba dan diduga dalam meracik bilah-bilah kehidupan menjadi hamparan sebidang pengalaman. Segala ceritera menjadi rencah dalam hidup seharian, silih berganti mewarnai kanvas usia yang semakin lusuh dan berdebu. Hanya insan-insan yang tabah, punya kekuatan dan keimanan sahaja yang mampu mengharungi segala dugaan dengan redha dan ikhlas.

Dan akhirnya yang paling mudah dan senang ialah menerima apa sahaja yang hadir ke sisi tanpa syarat.... tanpa kekesalan, tanpa dendam dan tanpa keraguan bahawa disebalik hijab permasalahan itu tersembunyi hakikat yang membahagiakan akhirnya. Dan kita pun kembalilah kepada fitrah azali bahawa segalanya adalah milik mutlakNya dan kita insan hanya mampu merancang....Dialah Maha Penentu segala!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails