Tuesday, September 20, 2011

Bagaimana Kesudahan Cerita Cinta Ini?

Tak tahu bagaimana untuk ku mulakan serawan bicara ini. Betul-betul tak faham dengan sikap manusia yang sengaja tidak mahu menerima ketentuanNya dengan redha. Malang bagi wanita-wanita yang bersuamikan lelaki yang lebih tua atau seusia dengan mereka.... biasanya bukan perkahwinan pertama, tetapi untuk ke-dua kalinya atau selebihnya.

Seorang lelaki memerlukan wanita sebagai tempat berkongsi kasih sayang, tempat bermanja dan teman yang setia mendengar. Apatah lagi jika lelaki itu sudah hidup keseorangan sekian lama kerana isterinya telah lama meninggal. Tak siapa peduli makan minumnya, tinggal bersendirian tanpa teman.... sedangkan anak-anak tinggal jauh dan kadang-kadang memang tidak bertanggung-jawab. Maka terdetiklah dihatinya untuk punya teman sekadar menemani mengisi kesunyian hati dan berkongsi kasih sayang dan pengalaman hidup yang telah diharunginya selama ini....

Cinta suci penyatuan dua hati.... termetri akhirnya.
Namun egonya anak-anak yang tidak cuba memahami perasaan 'orang tua' itu sebaliknya menentang habis-habisan. Segala perkataan yang buruk dilontarkan kepada orang tua itu.... gatal, miang dan sebagainya. Mereka menegaskan yang mereka masih boleh menjaga si orang tua itu lagi. Tapi akhirnya yang nyata adalah si ayah itu akan terus bersendirian kerana anak-anak sibuk dengan urusan masing-masing. Dan hanya menjenguk sekali-sekala sahaja.... Kesian, itulah nasib yang diterimanya setelah tulang empat keratnya digunakan habis-habisan untuk mencari sesuap nasi membesarkan anak-anak sejak zaman muda lagi.


Benar.... itu memang tanggung-jawab si ayah. Siapa pun kalau menjadi ayah akan melakukan serupa. Namun apakah pula tanggung-jawab anak-anak terhadap ayah mereka? Cukupkah dengan menjenguk keadaannya sebulan sekali? Cukupkah dengan masukkan duit dalam akaun si ayah sekali-sekala? Cukupkah dengan menghantar cucu-cucu untuk bermain dengan datuk mereka setiap kali cuti sekolah atau hujung minggu?

Apakah hak anak-anak untuk menghalang ayahnya berkahwin lagi? Ataukah ada sebab lain yang menyebabkan mereka tidak sanggup menerima 'ibu' baru? Takut? Bimbang? Takut harta ayah akan jatuh ke tangan orang lain mungkin.... dan bimbang kasih sayang ayah akan beralih kepada orang lain.... tambah pula jika wanita yang ingin dikahwininya itu sudah mempunyai anak dari perkahwinan terdahulu.


Hmmm... namun akhirnya kerana keinginan yang tak dapat dibendung lagi, si ayah pun kahwinlah juga akhirnya dengan majlis yang sederhana. Dan tentangan tak habis di situ. Muncung si anak-anak kian memanjang. Kerut di dahi juga semakin berkerutu..... tanda protes! Perang saudara pun dilancar terhadap ayah dan ibu baru. Tapi, ada anak-anak yang bagus redha menerima 'ibu' baru.... dan ada yang mencari sendiri teman buat ayah mereka. Alhamdulillah. Segala persiapan diatur untuk menerima orang baru dalam keluarga yang mempunyai anak-anak yang sudah 'dewasa'. Jadi bermulalah kehidupan baru si ayah ini dengan segunung harapan agar kekal ke akhir hayat!

Adakah cerita cinta itu sedamai dan setenang tasik ini?
Namun, bagaimanakah kesudahan cerita cinta ini? Bulan pertama yang manis, bila dua jiwa disatukan dalam persetiaan. Maka bermulalah lembaran baru bagi mereka. Sisa-sisa kehidupan yang kini mekar semula menguntumkan haruman kemboja di hati. Kata orang muda-muda kini...."dalam hati ada taman"!

Mengapa tidak dibiarkan sahaja kedua mereka melayari kehidupan mereka sendiri dan tidak diganggu-gugat oleh anak-anak yang sebahagiannya amat jarang sekali memahami perasaan kedua orang tua mereka. Dan kesudahannya pasti amat tragis apabila anak-anak mula masuk campur dalam riwayat kehidupan orang tua mereka. Akan berlakulah apa yang tidak patut berlaku seperti perbalahan dan membawa kepada perceraian.

Kenapa ini harus berlaku? Apakah si ayah tadi tak layak untuk beristeri lagi kerana faktor usia (pada pandangan anak-anak). Ataukah sebenarnya anak-anak tak ingin berkongsi kasih sayang dengan isteri baru ayahnya.... Suatu yang perlu diperhatikan adalah bilangan perceraian antara pasangan yang senior ini semakin meningkat kerana beberapa faktor, yang utama adalah kerana terlalu banyak campurtangan daripada anak-anak dalam kehidupan seharian mereka.

Cucu-cucu ditinggalkan kepada nenek baru ini, sedang sang nenek pun sebenarnya sudah tidak larat lagi kerana usia lanjut. Lagi pun mereka perlu membuat segala kerja di rumah seperti mana isteri-isteri lain di samping melayan suami, menemaninya ke surau dan teman bersenda-gurau dan berbincang. Hmmm...kadang-kadang kesian juga kerana mereka pun hanyalah ingin menumpang kasih sayang suami dan anak-anaknya. Tapi sebaliknya ada yang terpaksa melakukan macam-macam perkara yang tak pernah difikirkannya... sedang mereka tak perlu membuat semua itu sekiranya mereka hidup bersendirian.

Perlu difahami bahawa mereka ini berkahwin bukanlah kerana nafsu semata-mata.... namun kesunyian hati dan perasaan inginkan teman yang mampu menemani dan menghilangkan rasa gelisah di hati, itulah yang terpendam di lubuk hati mereka. Memang anak-anak boleh memberi kasih sayang kepada ibu atau bapa mereka yang hidup bersendirian, tapi tidak akan mampu memenuhi tuntutan naluri dan perasaan yang diharuskan oleh syarak. Di samping itu adalah menjadi hak mereka untuk 'bercinta' lagi kalau itu kemahuan mereka. Jadi pada anak-anak, cubalah fahami jiwa ibu dan bapa....dan jangan jadi anak yang derhaka.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails