Wednesday, September 14, 2011

Kebahagiaan Yang Manis

Dan musim pun terus berganti lagi...kekalutan menjadikan kehidupan semakin sesak dengan pelbagai persoalan yang harus dihadap dengan sisa-sisa kudrat yang masih tinggal. Namun tidak Dia menjadikan sesuatu itu sis-sia, kecuali untuk menjadi pengajaran bagi insan yang mahu memikirkan hakikat disebaliknya.

Walau apa pun, segala ujian dan hambatan yang mendatang harus dicerna dengan akal budi dan minda luhur insani bersama akar keimanan yang padu. Pastinya tersisip secebis kebahagiaan yang manis di penghujung sebuah penderitaan....dan jangan berhenti berharap! Jangan putus-asa dari rahmat Tuhan!
Setiap insan pasti akan dicuba dan diduga dalam meracik bilah-bilah kehidupan menjadi hamparan sebidang pengalaman. Segala ceritera menjadi rencah dalam hidup seharian, silih berganti mewarnai kanvas usia yang semakin lusuh dan berdebu. Hanya insan-insan yang tabah, punya kekuatan dan keimanan sahaja yang mampu mengharungi segala dugaan dengan redha dan ikhlas.

Dan akhirnya yang paling mudah dan senang ialah menerima apa sahaja yang hadir ke sisi tanpa syarat.... tanpa kekesalan, tanpa dendam dan tanpa keraguan bahawa disebalik hijab permasalahan itu tersembunyi hakikat yang membahagiakan akhirnya. Dan kita pun kembalilah kepada fitrah azali bahawa segalanya adalah milik mutlakNya dan kita insan hanya mampu merancang....Dialah Maha Penentu segala!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails